CERPEN | DERITA YANG TIDAK SURUT

Bahagian 1 - Rumah Yang Pernah Aku Impikan

Bahagian 2 — Baru Selesai Membersihkan Rumah, Banjir Datang Lagi

25 September 2026, rumah kami di Taman Meru Indah, Kapar, Klang, dinaiki air sehingga separuh rumah.

Banjir Taman Meru Indah
Banjir Taman Meru Indah
 
Seperti biasa, kami mengangkat barang dan membersihkan rumah selepas air surut. Lantai perlu dicuci, barang-barang perlu dikemas semula. Semuanya perlu dilakukan supaya kami dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Namun, keesokan harinya, 26 September, hujan lebat kembali turun. Kali ini, seluruh rumah kami dinaiki air.
Banjir Taman Meru Indah
Banjir Taman Meru Indah

Baru sehari sebelumnya kami bersusah payah membersihkan rumah. Penat masih belum hilang, kami terpaksa berhadapan dengan keadaan yang sama sekali lagi.

Sebenarnya, pengalaman ini bukan kali pertama berlaku.

Pada November 2025, banjir musim tengkujuh begitu teruk sehingga aku dan keluarga terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) buat kali pertama sejak menetap di sini.

Selepas dibenarkan pulang, kami mula membersihkan rumah. Tetapi ketika kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan, hujan lebat turun lagi. Air kembali naik dan rumah kami sekali lagi dinaiki banjir.

Bayangkan, baru pulang dari PPS, kami belum pun selesai membersihkan rumah, tetapi sudah terpaksa menghadapi banjir sekali lagi.

Jika PPS tidak dibuka ketika banjir, kami terpaksa menyewa homestay atau menumpang di rumah saudara sementara menunggu keadaan kembali pulih. Semua itu memerlukan perbelanjaan tambahan, sedangkan rumah sendiri masih perlu dibersihkan dan dibaiki.

Tahun 2025, rumah kami dinaiki air pada bulan Januari, April, September dan November.

Tahun 2026 pula, sehingga September sahaja, sudah enam kali rumah kami dinaiki air.

Setiap kali banjir berlaku, kami cuba menguruskan keadaan sebaik mungkin. Tetapi selepas berkali-kali mengulang perkara yang sama, aku mula tertanya-tanya sampai bila kehidupan kami akan terus begini.

Aku bukan tidak mahu bertahan. Tetapi penat rasanya apabila rumah yang baru dibersihkan kembali dinaiki air, sedangkan banjir sebelumnya pun belum sempat dilupakan.

Sampai bila kami harus mengulangi perkara yang sama, sedangkan kami juga cuma mahu menjalani kehidupan dengan tenang di rumah sendiri?

Dan sebenarnya, masalah kami bukan sekadar penat mengangkat barang atau membersihkan rumah selepas banjir.

Setiap kali air masuk, ada kerosakan yang perlu ditanggung. Ada barang yang tidak dapat digunakan lagi, dan ada perbelanjaan baharu yang terpaksa difikirkan.

Bersambung ke Bahagian 3 — Apabila Banjir Mula Menghabiskan Segala-galanya.

#KisahBenar #DeritaYangTidakSurut #Irra

0 comments:

Post a Comment